Sunday, January 17, 2010

SEMINAR THE POWER & SCIENCE OF SALAT 2010



SEMINAR
“THE POWER AND SCIENCE OF SALAT”


Tarikh :

24 Januari 2010 (Ahad)

Tempat :

Dewan Serbaguna Aras Bawah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Jalan Setiabudi, Bukit Damansara ,Kuala Lumpur

Masa :

08.30 pagi – 01.00 tengahari (1/2 hari)

* PENYERTAAN ADALAH PERCUMA !

Maklumat lanjut, layari laman web, www.perkim.net)

Friday, January 8, 2010

Bagaimana Bercinta Cara Islam ?


Jumaat,08/01/2010 :- Bagaimana Bercinta Cara Islam?
Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya. Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

Masyarakat Sudah Lari

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.

Konsep Meminang


Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah HARAM perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

"Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah??

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

Untuk mereka yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

"Jika tepat masa,ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya" -Ustaz Pahrol Mohd Juoi, penulis buku "Tentang Cinta"

Monday, January 4, 2010

Isu Nama Allah Dalam Bahasa Dan Budaya Melayu....



Selasa,05/01/2010 : Keputusan mahkamah membenarkan penerbitan mingguan Katolik Herald The Catholic Weekly menggunakan nama "Allah" telah menunjukkan satu kesan pertamanya yang jelas bertentangan dengan semangat yang telah kita rakyat Malaysia pertahankan selama ini, yakni amalan agama secara aman dan damai.

Walau apapun alasan yang diberikan untuk mewajarkan penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik itu, ada dua perkara yang paling mudah dapat diperhatikan akan menjadi kesan kepada masyarakat berbilang agama negara kita.

Pertama, rasa tidak senang sesama penganut Islam dengan bukan Islam yang terlibat dalam pertikaian ini dan kedua, penggunaan nama Allah bakal mendatangkan kekeliruan bagi banyak pihak kerana nama Allah telah sebati sebagai nama bagi Tuhan dalam bahasa Melayu, yang digunakan orang Melayu-Muslim yang menjadi majoriti negara ini, yang agama Islam menjadi satu-satunya agama yang disebut dalam perlembagaan.

Usaha pihak Katolik terbabit mahu menggunakan nama Allah mungkin tidak dapat diketahui sebabnya, tetapi yang penting ialah usaha ini telah membawa kesan yang tidak harmoni, apabila umat Muslim menunjukkan rasa marah mereka terhadap agenda pihak Katolik itu.

Memang nama Allah telah disebut oleh penganut agama lain, terutamanya agama samawi sejak lama dulu, tetapi dalam hal ini, isu ini hendaklah dilihat berdasarkan konteks bahasa, budaya dan realiti amalan keagamaan di negara Malaysia ini.

Isu ini tidak dapat dipisahkan daripada konteks bahasa dan budaya negara ini, dan apabila dikaji dengan mendalam, akan sampai kepada hubungan bahasa Melayu, tulisan jawi dan agama Islam yang sangat rapat dengan sejarah tanah ini.

Isu ini tidak dapat dipisahkan daripada peranan bahasa Melayu membina budaya dan peradaban berasaskan Islam di negara ini.

Isu ini terkait dengan jiwa bangsa Melayu dan hubungan rapatnya dengan Islam di negara ini. Hal yang sama berlaku dalam konteks bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah dengan agama Kristian.

Penggunaan nama Allah dan istilah-istilah agama Islam daripada bahasa Arab dan ada yang dimelayukan menjelaskan sejarah hubungan rapat bahasa Melayu dengan Islam.

Seperti disebut ramai pemimpin dan tokoh, penggunaan nama Allah oleh Kristian boleh mengelirukan kerana tidak ada jaminan apa yang akan mereka tulis dan terbitkan tidak akan sampai kepada orang Muslim.

Orang Muslim tertentu boleh keliru dengan penggunaan nama Allah itu dengan beranggapan Allah itu sama dengan yang dia sedia fahami. Ini sangat mudah difahami, kerana sebahagian besar kesannya nanti akan terkena pada orang awam, bukan orang elit termasuk ahli politik tertentu yang menyokong penggunaan nama Allah oleh Kristian itu.

Perdebatan mengenai isu ini berlaku di kalangan orang intelektual dan orang yang mahir dalam undang-undang, tetapi perlaksanaannya akan sampai kepada lebih ramai orang yang tidak tahu-menahu tentang persamaan dan perbezaan antara agama-agama samawi.

Bagi ramai orang Muslim, pemahaman mereka mudah, yakni Tuhan itu ialah Allah, al-Quran itu ialah kitab suci Islam, masjid ialah tempat ibadat orang Muslim, dan sebagainya.

Penggunaan istilah-istilah yang telah terbiasa dalam bahasa Melayu yang menjadi satu asas agama Islam di Malaysia untuk menyifatkan apa yang dirujuk agama lain akan mengelirukan.

Isu ini melibatkan kepentingan orang ramai, ketenteraman awam dan keharmonian hubungan antara agama di Malaysia ini. Kenapa orang yang mendakwa agama mereka, Jesus mereka membawa mesej kasih-sayang mahu meneruskan usaha yang bertentangan dengan mesej kasih-sayang Jesus itu?

Kenapa mereka beriya-iya mahu menggunakan nama Allah sedangkan nama Allah lebih dikaitkan dengan Islam? Ini memberi tanggapan yang mereka mempunyai niat menyebarkan agama mereka kepada orang Melayu.

Ini adalah kerana menjadi kebiasaan dalam usaha menyebarkan agama kepada pengikut agama lain, pada mula-mulanya penekanan diberi kepada persamaan agama yang mahu disampaikan itu dengan agama pendengarnya.

Persamaan-persamaanlah yang akan mendekatkan dua agama tersebut. Akhirnya, seseorang itu mudah menerima agama yang satu lagi itu, yang dilihat tidak ada bezanya dengan agamanya sendiri.

Dalam kes ini, orang Melayu Muslim terutamanya perlu sedar di sinilah pentingnya bahasa Melayu yang kita pegang, dan kenapa penting untuk kita memahami bahasa kita dengan lebih dalam dan menjadikannya bahasa yang utama dari segi kedudukan dan amalan di negara kita ini, menjadikannya bahasa yang bersatu dari sudut semangatnya dengan agama Islam.

Semua orang Muslim perlu bersatu hati dalam hal ini. Menyalahkan Umno semata-mata tanpa bertindak sewajarnya tidak akan membawa sebarang penyelesaian. Kita tidak perlu apologetik dan cuba mewajarkan tuntutan Kristian itu dengan hujah-hujah berlandaskan pluralisme, kerana tuntutan itu membawa implikasi besar yang tidak dapat ditangani dengan fahaman liberal.

Implikasi isu ini bersifat praktikal dan perlu ditangani sewajarnya. Isu ini melibatkan politik, agama, bahasa dan budaya sekaligus, dan memerlukan gabungan tenaga seluruh umat untuk menanganinya.

(Ihsan dari www.harakahdaily.net)