Monday, January 4, 2010
Isu Nama Allah Dalam Bahasa Dan Budaya Melayu....
Selasa,05/01/2010 : Keputusan mahkamah membenarkan penerbitan mingguan Katolik Herald The Catholic Weekly menggunakan nama "Allah" telah menunjukkan satu kesan pertamanya yang jelas bertentangan dengan semangat yang telah kita rakyat Malaysia pertahankan selama ini, yakni amalan agama secara aman dan damai.
Walau apapun alasan yang diberikan untuk mewajarkan penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik itu, ada dua perkara yang paling mudah dapat diperhatikan akan menjadi kesan kepada masyarakat berbilang agama negara kita.
Pertama, rasa tidak senang sesama penganut Islam dengan bukan Islam yang terlibat dalam pertikaian ini dan kedua, penggunaan nama Allah bakal mendatangkan kekeliruan bagi banyak pihak kerana nama Allah telah sebati sebagai nama bagi Tuhan dalam bahasa Melayu, yang digunakan orang Melayu-Muslim yang menjadi majoriti negara ini, yang agama Islam menjadi satu-satunya agama yang disebut dalam perlembagaan.
Usaha pihak Katolik terbabit mahu menggunakan nama Allah mungkin tidak dapat diketahui sebabnya, tetapi yang penting ialah usaha ini telah membawa kesan yang tidak harmoni, apabila umat Muslim menunjukkan rasa marah mereka terhadap agenda pihak Katolik itu.
Memang nama Allah telah disebut oleh penganut agama lain, terutamanya agama samawi sejak lama dulu, tetapi dalam hal ini, isu ini hendaklah dilihat berdasarkan konteks bahasa, budaya dan realiti amalan keagamaan di negara Malaysia ini.
Isu ini tidak dapat dipisahkan daripada konteks bahasa dan budaya negara ini, dan apabila dikaji dengan mendalam, akan sampai kepada hubungan bahasa Melayu, tulisan jawi dan agama Islam yang sangat rapat dengan sejarah tanah ini.
Isu ini tidak dapat dipisahkan daripada peranan bahasa Melayu membina budaya dan peradaban berasaskan Islam di negara ini.
Isu ini terkait dengan jiwa bangsa Melayu dan hubungan rapatnya dengan Islam di negara ini. Hal yang sama berlaku dalam konteks bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah dengan agama Kristian.
Penggunaan nama Allah dan istilah-istilah agama Islam daripada bahasa Arab dan ada yang dimelayukan menjelaskan sejarah hubungan rapat bahasa Melayu dengan Islam.
Seperti disebut ramai pemimpin dan tokoh, penggunaan nama Allah oleh Kristian boleh mengelirukan kerana tidak ada jaminan apa yang akan mereka tulis dan terbitkan tidak akan sampai kepada orang Muslim.
Orang Muslim tertentu boleh keliru dengan penggunaan nama Allah itu dengan beranggapan Allah itu sama dengan yang dia sedia fahami. Ini sangat mudah difahami, kerana sebahagian besar kesannya nanti akan terkena pada orang awam, bukan orang elit termasuk ahli politik tertentu yang menyokong penggunaan nama Allah oleh Kristian itu.
Perdebatan mengenai isu ini berlaku di kalangan orang intelektual dan orang yang mahir dalam undang-undang, tetapi perlaksanaannya akan sampai kepada lebih ramai orang yang tidak tahu-menahu tentang persamaan dan perbezaan antara agama-agama samawi.
Bagi ramai orang Muslim, pemahaman mereka mudah, yakni Tuhan itu ialah Allah, al-Quran itu ialah kitab suci Islam, masjid ialah tempat ibadat orang Muslim, dan sebagainya.
Penggunaan istilah-istilah yang telah terbiasa dalam bahasa Melayu yang menjadi satu asas agama Islam di Malaysia untuk menyifatkan apa yang dirujuk agama lain akan mengelirukan.
Isu ini melibatkan kepentingan orang ramai, ketenteraman awam dan keharmonian hubungan antara agama di Malaysia ini. Kenapa orang yang mendakwa agama mereka, Jesus mereka membawa mesej kasih-sayang mahu meneruskan usaha yang bertentangan dengan mesej kasih-sayang Jesus itu?
Kenapa mereka beriya-iya mahu menggunakan nama Allah sedangkan nama Allah lebih dikaitkan dengan Islam? Ini memberi tanggapan yang mereka mempunyai niat menyebarkan agama mereka kepada orang Melayu.
Ini adalah kerana menjadi kebiasaan dalam usaha menyebarkan agama kepada pengikut agama lain, pada mula-mulanya penekanan diberi kepada persamaan agama yang mahu disampaikan itu dengan agama pendengarnya.
Persamaan-persamaanlah yang akan mendekatkan dua agama tersebut. Akhirnya, seseorang itu mudah menerima agama yang satu lagi itu, yang dilihat tidak ada bezanya dengan agamanya sendiri.
Dalam kes ini, orang Melayu Muslim terutamanya perlu sedar di sinilah pentingnya bahasa Melayu yang kita pegang, dan kenapa penting untuk kita memahami bahasa kita dengan lebih dalam dan menjadikannya bahasa yang utama dari segi kedudukan dan amalan di negara kita ini, menjadikannya bahasa yang bersatu dari sudut semangatnya dengan agama Islam.
Semua orang Muslim perlu bersatu hati dalam hal ini. Menyalahkan Umno semata-mata tanpa bertindak sewajarnya tidak akan membawa sebarang penyelesaian. Kita tidak perlu apologetik dan cuba mewajarkan tuntutan Kristian itu dengan hujah-hujah berlandaskan pluralisme, kerana tuntutan itu membawa implikasi besar yang tidak dapat ditangani dengan fahaman liberal.
Implikasi isu ini bersifat praktikal dan perlu ditangani sewajarnya. Isu ini melibatkan politik, agama, bahasa dan budaya sekaligus, dan memerlukan gabungan tenaga seluruh umat untuk menanganinya.
(Ihsan dari www.harakahdaily.net)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment